Powered by Blogger.

Keluarga Bahagia, Bayt Dimasyq..Mu'tah,Jordan.




Musim sejuk baru sahaja melabuhkan tirai ujiannya. Selaku musafir ilmu yang baru menjejakkan kaki ke Dataran Syam, Mu’tah ini, segalanya memberi seribu satu pengalaman baru. Ujian musim sejuk di sini lebih getir sedikit berbanding ketika saya di Dimasyq. Mungkin di sini kawasan bukit kot. Suhunya lebih tinggi sedikit berbanding di Dimasyq.

Rupanya talian ikatan Dimasyq tak terputus selepas saya beralih angin ke Mu’tah. Rumah yang saya tinggal di beri nama ‘Bayt Dimasyq’! Ahli rumah yang datang dari pelbagai negeri, bertambah menyeronokkan lagi dengan gaya percakapan yang pelbagai. Mana tidaknya, yang Terengganu nak bercakap Kedah, yang utara pulak berbalas cakap Kelantan. Manakala masakan Negeri Sembilan pulak membuatkan orang Timur ‘berpeluh’ di musim sejuk. Kelakarnya lagi, bila dah beraneka percakapan, maka keluarlah ayat yang perlu di ihtimamkan oleh pihak Dewan Bahasa seperti ( air-ayang & makan-makaq )!

Read more...

..rindu pada ukhuah..











Semalam adalah kenangan, hari ini adalah kenyataan, besok dan selama-lamanya adalah impian yang perlu di laksanakan…

Segalanya berlalu terlalu pantas dan cepat. Hampir setahun saya meninggalkan alam kampus di Darul Quran, JAKIM ( DQ ). Terkadang bila bersendirian, seronok bila dikurniakan ‘mesin pengimbas’, untuk kembali ‘refresh’ kenangan dan memori di DQ.

Terkadang ketawa sendirian bila kembali menatap rupa di waktu ‘muda’ ketika melalui Program Haluan Siswa yang di lalui 5 tahun yang lalu.

Ish ish..



Hikmah dan ujian yang Allah taklifkan sebagai pimpinan kampus bersama sahabat-sahabat yang lain cukup berharga bagi saya. Bukan setakat di beri peluang untuk mencipta pengalaman, tapi di beri juga peluang oleh Allah ‘mencipta memori sebuah ukhuah’.
Segalanya amat berbeza ketika berukhuah di alam menengah dan kampus.

Saya teramat bersyukur kerana Allah campakkan saya ke dalam ‘Taman-taman Quran’.
Hikmah dan nilainya, terlalu sukar untuk di rungkaikan..



Seronoknya bersama abang-abang yang dah ‘berumur’ yang di satukan dalam ikatan satu batch yang sama.

Abang Apish, Abang Fadhil, Abang In, Abang Afif, ‘satu jawatankuasa’ penggerak set-set ‘expired day’ ( kuang kuang kuang..jangan marah ye..).

Walaupun umur tidak jauh beza dengan saya, tapi rasa hormat kepada ‘Abang-abang tua’ ini, membuatkan saya dan sahabat-sahabat yang lain seronok menyakat mereka ini!

Senyum sendirian bila terbayang wajah masing-masing..

Kenangan bersama satu syukhbah juga membuatkan saya bersyukur dengan kurniaan yang di berikan.

Pada waktu itu, syukhbah Dakwah hanya satu di bumi DQ. Tak salah saya sekarang dah bertambah.

Seronoknya bilama kami berjaya menghasilkan 2 dvd hasil tugasan assigment yang di berikan.
Satu, ketika mana kami bersama membuat liputan ‘edisi siasat’ di kawasan-kawasan ‘berhantu’, seperti; Lorong Haji Taib, Chow Kit dan sebagainya.

Dua, ketika mana membuat lawatan di Yayasan Jenderami..



Pengalaman selama 3 tahun berada di bumi DQ, segalanya cukup bermakna.

Apatah lagi Allah kurniakan ‘adik beradik teman seperjuangan’ yang terlalu amat berharga bagi saya!

Benarlah nukilan diari haraki, ‘saudara seaqidah yang tidak mempunyai tautan darah, terkadang terlebih rapat dan berharga dari saudara yang mempunyai talian darah serta nasab kekeluargaan..’

Rindunya saya pada bauan ukhuah semalam, Allah saja yang tahu..

Read more...

Kenangan Abadi..Allahyarham Abang Hud Dalam Ingatan..

Setiap tahun bulan Februari menjelma, saya tidak dapat lari dari kenyataan sunnatullah yang memang telah di tetapkan sejak azali. Februari 2009, genap hampir 5 tahun saya kehilangan insan yang amat saya sayangi dunia dan akhirat. Dan setiap tahun jugalah, detik kehilangan Allahyarham Abang Hud sentiasa berlegar dalam sanubari dan ingatan saya.
Untuk coretkan catatan ini adalah terlalu pahit bagi saya sebenarnya. Kerana setiap catatan yang cuba untuk saya kongsikan bersama, maka setiap kali jugalah wajah Allahyarham menjelma di dalam fikiran saya. Bukanlah saya punyai hati dan perasaan yang tidak meredhoi akan pemergiannya. Jujurnya, saya juga adalah insan biasa yang tidak dapat lari dari perasaan sedih dan pilu di sebabkan kehilangan seorang insan yang bernama ‘abang’.
Kenangan menjadi seorang adik kepada seorang abang adalah satu anugerah sementara yang Allah kurniakan buat saya sekeluarga. Abang Hud adalah perintis pertama dalam keluarga kami yang menceburi bidang Hafiz Quran. Perjuangannya dalam menjadi penjaga ‘Kalamullah’ di teruskan oleh adik-adiknya. Alhamdulilah, andai umur Abang Hud di panjangkan sehingga hari ini, saya rasa mesti dia gembira melihat adik-adiknya mengikuti jejak langkahnya. Abang Lan, Saya, Adam dan adik bongsu semuanya di anugerahkan oleh Allah untuk menjadi penjaga ‘Kitabnya’ yang agung..Andainya Allahyarham masih ada, mesti dia gembira melihat pencapaian adik-adiknya..
Setinggi mana sayang kami sekeluarga padanya, seluas dan sedalam mana kasih kami padanya juga, masih tidak dapat menandingi kasih dan sayang penciptanya yang Maha Esa. Peritiwa 5 tahun yang lepas, masih segar dalam ingatan saya. Seolah-olah baru semalam, saya dengan Allahyarham berbual tentang pengajian.. Memang segalanya, masih segar dalam ingatan saya sekeluarga..
Sekalung al-Fatihah di hadiahkan kepada Allahyarham Wan Mohd Hud..Moga kita kan bertemu di hari yang dijanjikan pasti tiba oleh yang Maha Agung..al-Fatihah..

Read more...

Pertemuan Bersama Ayah Chik

Saya begitu teruja dan rasa beruntung dapat bersua muka secara live dengan tokoh ulama’ serta pimpinan yang terkemuka yang hadir di sini. Sahabat saya ada menyatakan, salah satu keuntungan berada di negara orang ini adalah dapat bertemu dengan pimpinan dan dapat bersoal jawab secara live. Hakikat itu memang tidak dinafikan.
Baru-baru ini, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang ( Presiden Pas ) meluangkan masa untuk bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di sini. Turut serta dalam majlis tersebut, YB Salahuddin Ayub ( Ketua Pemuda Pas Pusat ), YB Ustaz Nasir Zakaria ( Ahli Parlimen Padang Terap ) dan YB Dr Lo’ Lo’ Hj Mohd Ghazali ( Ahli Parlimen Titiwangsa ). Cuma kesian saya melihat YB Salahudin dengan YB Ustaz Nasir yang tersengguk-sengguk menahan mengantuk demi meraikan jemputan yang di atur oleh pihak persatuan. Tabik YB!!
Dalam pertemuan tersebut, Ayah Chik ( panggilan mesra Tok Guru Hj Hadi ) menceritakan tentang sejarah kegemilangan Islam dan zaman kejatuhannya. Apa yang menarik Ayah Chik sempat menasihati kami agar jangan sesekali lari dan memberi alasan yang pelbagai apabila kembali ke tanah air kelak. Beliau mengingatkan bahawa amat rugi dan parah sekali bilamana orang yang belajar dan memahami islam tetapi mereka yang sekadar duduk dan melihat sahaja islam dibantai dan dicela. Di tambah lagi dengan alasan yang menjadi kebiasaan yang selalu didengari, “oh,anak saya belum habis belajar lagi”, “InsyaAllah, lepas pencen saya akan turun bersama,sekarang tak boleh, takut kena gam nanti”, “saya kerja dengan kerajaan”, dan pelbagai dialog yang menarik lagi yang diunggkap oleh Ayah Chik sebagai memperingati kami agar tidak sekali mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa apabila kembali ke tanah air kelak.
Walaupun pertemuan tersebut di adakan secara ringkas, tapi saya rasa amat puas, bila semangat perjuangan ini di bakar oleh mereka yang hebat. Saya difahamkan, rombongan Ayah Chik akan bertemu dengan Khaleed Masy’al, orang no 2 tertinggi dalam Hamas keesokan harinya..Memang hebat orang yang berjuang!!

Read more...

Cerita Semalam..

Tinggal di bumi orang memang teramat menguji perasaan dan cara kita berfikir. Segala yang di lalui adalah salah satu jalan tarbiah yang disusun secara teratur oleh Allah taala. Hampir 5 bulan saya di lempar oleh Allah ke tanah Syam ini. Bumi yang penuh barakah, yang di penuhi dengan ulama’ yang hidupnya mengajar manusia supaya kembali kepada agama Islam. Saya memang kagum dan teramat teruja dengan ulama-ulama’ di sini. Kezuhudan mereka dan segala gaya hidup mereka adalah salah satu metod dakwah yang mudah di fahami. Dan hebatnya ulama’ di sini, mereka di raikan seperti artis ternama. Kalau setakat Siti Nurhaliza mahupun Mawi, saya rasa popularati mereka jauh ketinggalan ke belakang berbanding ulama’-ulama’ di sini. Masuk majlis ilmu mereka, seperti masuk pesta ilmu yang kadang-kadang saya pun tak reti nak cakap macam mana perasaan ketika itu. Rasanya kerajaan pakatan rakyat yang dapat memerintah dan menawan 5 buah negeri patut memikirkan cara dan gaya untuk menaik tarafkan ulama’-ulama’ seperti di sini.
Semalam rombongan misi menyampaikan bantuan kepada rakyat di Ghazzah tiba di sini. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ( Pesuruhjaya Pas Pahang, Ahli Majlis Syura Ulama’ Pas Pusat dan merangkap AJK Pas Pusat ), Ustaz Nik Zawawi Nik Saleh ( Ketua Penerangan Dewan Ulama’ Pas Pusat ), Ustaz Salehin Mukhyi ( Ketua Pemuda Pas Selangor ) serta beberapa orang lagi sempat hadir di rumah Persatuan Pelajar Syria untuk berkongsi maklumat dan memberi hembusan semangat dalam melayari hidup di bumi orang ini.
Saya seronok dan teruja sungguh ( dan rasanya sahabat-sahabat yang lain pun sependapat dengan saya juga la kot )bilamana Dato’ Tuan Ibrahim menceritakan gelagat-gelagat orang bukan Islam pasca PRU 12, ramai yang berminat terhadap Pas dan Islam itu sendiri. Bayangkan ‘Mursyidul Am Hindu Semalaysia’ dapat berceramah bersama Mursyidul Am Pas! Memang boleh masuk ICU Umno bersama sekutu-sekutunya yang lain. Cuma entah mampu hidup ataupun tidak, sediakan liang lahad dan tempat pembakaran je la. Senang segala kerja nanti.
Mereka juga sempat memberitahu, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang ( Presiden Pas ) bersama dengan beberapa ahli Parlimen yang lain akan bertandang ke Syria hujung minggu ini. Perkh! Ini memang suatu perkara yang amat dinanti-nantikan. Saya pasti bukan sahaja saya, malah sahabat-sahabat yang ada kat Syria pasti ternanti-nanti kedatangan tetamu istimewa ini.
Apa pun kita nantikan...ZAzzzz..

Read more...

Ijazah Sanad Hadis Penutup Diari Kembara Hidup 2008

Sudah hampir tiga minggu tahun baru islam meninggalkan kita dan hampir dua minggu juga saya bersama teman-teman meninggalkan kenangan bertalaqqi mengambil ijazah sanad hadis riwayah jami’ Imam Tirmizi dari ulama’ hadis terkenal dan terkemuka di Syria iaitu Syeikh Mohammad Abu Huda al-Ya’qubi.
Pengajian hadis ini di buka penyertaannya kepada semua lapisan masyarakat samaada pak cik-pak cik ( cakap orang melayu.. ), budak sekolah rendah sehingga yang menengah, pelajar Universiti, pekedai runcit, ahli perniagaan, tok iman, pensyarah-pensyarah sehinggalah ulama’-ulama’ yang berilmu tinggi pun turut hadir merendahkan diri untuk berada dalam payungan malaikat ini! Bermula dari tarikh 25 Disember 2008 sehingga 1 Januari 2009, segalanya amat bermakna bagi kami semua..
Memang kenangan mengambil ijazah sanad hadis ini suatu perkara yang sukar untuk saya gambarkan keseronokkannya! Seawal jam 5.30 pagi saya bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang lain akan bergegas ke Jami’ Hasan Hai Abu Rumanah yang berhampiran dengan Universiti Damascus. Memang bersemangat habis! Dengan cuaca musim sejuk yang teramat sangat, membuatkan nukilan kenangan ini bertambah menjadi dan terasa seperti berada di medan ‘tempur’.
Keadaan dan suasana ilmu yang ‘maha dahsyat’ ini memang satu perhimpunan ‘mini raksasa’ yang membuatkan saya bersama kawan-kawan tak habis-habis memuji keberkatan ilmu yang berada di atas bumi Syam ini. Dari pelbagai pelusuk benua datang memeriahkan Jami’ Hasan ini. Dari benua Asia sehinggalah ke Eropah. Dari kulit tanah sehinggalah ke kulit sejernih awan. Dari yang nampak muka dan gigi sehinggalah yang nampak gigi dan mata sahaja!
Saya juga tak melepaskan peluang untuk berkenalan dengan sahabat-sahabat seIslam yang ‘sekian lama terpisah’. Sempat berkenalan dengan pelajar Ma’ahad Fatah Islami, Ammar, Abdul Aziz, Khalil dan kawan-kawannya. Toriq bersama keluarganya. Yang paling istimewa adalah Nadir. Beliau adalah penduduk Syria yang dapat bercakap dalam bahasa melayu. Walaupun tidak fasih, namun kesungguhannya untuk bercakap dalam bahasa ibunda kita saya amat kagumi! Geli hati kami bila dia bercakap dengan dialek baku yang bercampur baur dengan lahjah tempatan Malaysia. Saya ingatkan dia adalah pelajar Universiti tempatan di sini mahupun ma’ahad-ma’ahad yang terkenal. Tapi umurnya baru mencecah 19 tahun! Ish ish..saya cadangkan dekat tv3 ataupun tv1 untuk datang Syria, buat program ‘arab Syria cakap melayu’ pulak menggantikan ‘arab Mesir kecek kelate’.
Kalau nak di ceritakan perkara yang pelik di sisi ‘orang ajanib’ macam saya dan kawan-kawan yang lain memang banyak. Saya dan amin tak abis-abis tengok orang di sekeliling kami. Perkara yang kami anggap ganjil yang memang teramat susah untuk di jumpai di ‘tanah airku’ yang tercinta boleh di dapati dalam majlis sanad ini.
Ada sekali, saya sempat tegur ‘jiran’ sebelah saya masa di awal pengajian. Namanya Imran. Bila di tanya tentang umurnya dan tempat tinggalnya, saya terkejut ‘bangat’! Imran yang baru berumur 16 tahun sanggup datang dari tempat sejauh ‘Halab’( Kota baru di Syria ) semata-mata nak ambil sanad hadis! Bertambah rasa malu dengan diri sendiri bila dia datang seorang diri. Sempat saya dan Amin bersembang berdua berkira-kira jarak dari Halab ke kota Dimasyq dengan ukuran tempat di Malaysia. Terfikir kami berdua adakah wujud remaja yang semuda Imran yang sanggup turun dari Kuala Lumpur ke Kedah semata-mata untuk mengikuti kuliah Syeikh Nuruddin. Bak kata Islam,”kita sama-sama fikirkan..”.
Itu cerita budak berumur 16 tahun. Lagi membuatkan saya rasa terfikir tentang anak bangsa sendiri, depan mata saya budak yang saya jangka umurnya lebih kurang 10 atau 11 tahun sedang tasmik Quran dengan seorang syeikh. Itu di depan mata, yang di sebelah kiri saya pulak, si anak sedang tasmik si ayah! Saya kongsi peristiwa yang saya tengok bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang lain. Kami terfikir, apalah agaknya adik, anak sedara dan kanak-kanak yang sewaktu dengannya buat di ‘tanah air’ yang amat di cintai..
Pengalaman mengikuti kelas pengajian ini memang suatu anugerah yang Allah kurniakan pada kami. Ye la, kami pun masih baru di sini tapi di beri peluang keemasan sebegini. Memang terasa amat bertuah. Saya juga sempat bergambar dengan Abang Azmil Mustapha, pelakon ‘Ali Setan’ yang datang mengabdikan diri di bumi Syam ini. Hidayah Allah itu terlalu mahal. Sekali di ‘bolak’ hati hambanya, segalanya berubah! Saya sarankan buat artis-artis yang nak berubah, ahlan wasahlan ke Syria. InsyaAllah, berkat bumi yang penuh dengan ulama’ dan dengan kekuasaanNya, segalanya menjadi. Bukan cakap di Malaysia tak mampu mengubah keadaan, tapi ‘kurang sikit’ saya rasakan.
Apa pun saya masih bukan syeikh yang dapat memberi ijazah sanad pada sahabat-sahabat di Malaysia. Sekadar ijazah goreng pisang boleh kot..

Read more...

About This Blog

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP