Powered by Blogger.

Kenangan Abadi..Allahyarham Abang Hud Dalam Ingatan..

Setiap tahun bulan Februari menjelma, saya tidak dapat lari dari kenyataan sunnatullah yang memang telah di tetapkan sejak azali. Februari 2009, genap hampir 5 tahun saya kehilangan insan yang amat saya sayangi dunia dan akhirat. Dan setiap tahun jugalah, detik kehilangan Allahyarham Abang Hud sentiasa berlegar dalam sanubari dan ingatan saya.
Untuk coretkan catatan ini adalah terlalu pahit bagi saya sebenarnya. Kerana setiap catatan yang cuba untuk saya kongsikan bersama, maka setiap kali jugalah wajah Allahyarham menjelma di dalam fikiran saya. Bukanlah saya punyai hati dan perasaan yang tidak meredhoi akan pemergiannya. Jujurnya, saya juga adalah insan biasa yang tidak dapat lari dari perasaan sedih dan pilu di sebabkan kehilangan seorang insan yang bernama ‘abang’.
Kenangan menjadi seorang adik kepada seorang abang adalah satu anugerah sementara yang Allah kurniakan buat saya sekeluarga. Abang Hud adalah perintis pertama dalam keluarga kami yang menceburi bidang Hafiz Quran. Perjuangannya dalam menjadi penjaga ‘Kalamullah’ di teruskan oleh adik-adiknya. Alhamdulilah, andai umur Abang Hud di panjangkan sehingga hari ini, saya rasa mesti dia gembira melihat adik-adiknya mengikuti jejak langkahnya. Abang Lan, Saya, Adam dan adik bongsu semuanya di anugerahkan oleh Allah untuk menjadi penjaga ‘Kitabnya’ yang agung..Andainya Allahyarham masih ada, mesti dia gembira melihat pencapaian adik-adiknya..
Setinggi mana sayang kami sekeluarga padanya, seluas dan sedalam mana kasih kami padanya juga, masih tidak dapat menandingi kasih dan sayang penciptanya yang Maha Esa. Peritiwa 5 tahun yang lepas, masih segar dalam ingatan saya. Seolah-olah baru semalam, saya dengan Allahyarham berbual tentang pengajian.. Memang segalanya, masih segar dalam ingatan saya sekeluarga..
Sekalung al-Fatihah di hadiahkan kepada Allahyarham Wan Mohd Hud..Moga kita kan bertemu di hari yang dijanjikan pasti tiba oleh yang Maha Agung..al-Fatihah..

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP