Powered by Blogger.

Cerita Semalam..

Tinggal di bumi orang memang teramat menguji perasaan dan cara kita berfikir. Segala yang di lalui adalah salah satu jalan tarbiah yang disusun secara teratur oleh Allah taala. Hampir 5 bulan saya di lempar oleh Allah ke tanah Syam ini. Bumi yang penuh barakah, yang di penuhi dengan ulama’ yang hidupnya mengajar manusia supaya kembali kepada agama Islam. Saya memang kagum dan teramat teruja dengan ulama-ulama’ di sini. Kezuhudan mereka dan segala gaya hidup mereka adalah salah satu metod dakwah yang mudah di fahami. Dan hebatnya ulama’ di sini, mereka di raikan seperti artis ternama. Kalau setakat Siti Nurhaliza mahupun Mawi, saya rasa popularati mereka jauh ketinggalan ke belakang berbanding ulama’-ulama’ di sini. Masuk majlis ilmu mereka, seperti masuk pesta ilmu yang kadang-kadang saya pun tak reti nak cakap macam mana perasaan ketika itu. Rasanya kerajaan pakatan rakyat yang dapat memerintah dan menawan 5 buah negeri patut memikirkan cara dan gaya untuk menaik tarafkan ulama’-ulama’ seperti di sini.
Semalam rombongan misi menyampaikan bantuan kepada rakyat di Ghazzah tiba di sini. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ( Pesuruhjaya Pas Pahang, Ahli Majlis Syura Ulama’ Pas Pusat dan merangkap AJK Pas Pusat ), Ustaz Nik Zawawi Nik Saleh ( Ketua Penerangan Dewan Ulama’ Pas Pusat ), Ustaz Salehin Mukhyi ( Ketua Pemuda Pas Selangor ) serta beberapa orang lagi sempat hadir di rumah Persatuan Pelajar Syria untuk berkongsi maklumat dan memberi hembusan semangat dalam melayari hidup di bumi orang ini.
Saya seronok dan teruja sungguh ( dan rasanya sahabat-sahabat yang lain pun sependapat dengan saya juga la kot )bilamana Dato’ Tuan Ibrahim menceritakan gelagat-gelagat orang bukan Islam pasca PRU 12, ramai yang berminat terhadap Pas dan Islam itu sendiri. Bayangkan ‘Mursyidul Am Hindu Semalaysia’ dapat berceramah bersama Mursyidul Am Pas! Memang boleh masuk ICU Umno bersama sekutu-sekutunya yang lain. Cuma entah mampu hidup ataupun tidak, sediakan liang lahad dan tempat pembakaran je la. Senang segala kerja nanti.
Mereka juga sempat memberitahu, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang ( Presiden Pas ) bersama dengan beberapa ahli Parlimen yang lain akan bertandang ke Syria hujung minggu ini. Perkh! Ini memang suatu perkara yang amat dinanti-nantikan. Saya pasti bukan sahaja saya, malah sahabat-sahabat yang ada kat Syria pasti ternanti-nanti kedatangan tetamu istimewa ini.
Apa pun kita nantikan...ZAzzzz..

Read more...

Ijazah Sanad Hadis Penutup Diari Kembara Hidup 2008

Sudah hampir tiga minggu tahun baru islam meninggalkan kita dan hampir dua minggu juga saya bersama teman-teman meninggalkan kenangan bertalaqqi mengambil ijazah sanad hadis riwayah jami’ Imam Tirmizi dari ulama’ hadis terkenal dan terkemuka di Syria iaitu Syeikh Mohammad Abu Huda al-Ya’qubi.
Pengajian hadis ini di buka penyertaannya kepada semua lapisan masyarakat samaada pak cik-pak cik ( cakap orang melayu.. ), budak sekolah rendah sehingga yang menengah, pelajar Universiti, pekedai runcit, ahli perniagaan, tok iman, pensyarah-pensyarah sehinggalah ulama’-ulama’ yang berilmu tinggi pun turut hadir merendahkan diri untuk berada dalam payungan malaikat ini! Bermula dari tarikh 25 Disember 2008 sehingga 1 Januari 2009, segalanya amat bermakna bagi kami semua..
Memang kenangan mengambil ijazah sanad hadis ini suatu perkara yang sukar untuk saya gambarkan keseronokkannya! Seawal jam 5.30 pagi saya bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang lain akan bergegas ke Jami’ Hasan Hai Abu Rumanah yang berhampiran dengan Universiti Damascus. Memang bersemangat habis! Dengan cuaca musim sejuk yang teramat sangat, membuatkan nukilan kenangan ini bertambah menjadi dan terasa seperti berada di medan ‘tempur’.
Keadaan dan suasana ilmu yang ‘maha dahsyat’ ini memang satu perhimpunan ‘mini raksasa’ yang membuatkan saya bersama kawan-kawan tak habis-habis memuji keberkatan ilmu yang berada di atas bumi Syam ini. Dari pelbagai pelusuk benua datang memeriahkan Jami’ Hasan ini. Dari benua Asia sehinggalah ke Eropah. Dari kulit tanah sehinggalah ke kulit sejernih awan. Dari yang nampak muka dan gigi sehinggalah yang nampak gigi dan mata sahaja!
Saya juga tak melepaskan peluang untuk berkenalan dengan sahabat-sahabat seIslam yang ‘sekian lama terpisah’. Sempat berkenalan dengan pelajar Ma’ahad Fatah Islami, Ammar, Abdul Aziz, Khalil dan kawan-kawannya. Toriq bersama keluarganya. Yang paling istimewa adalah Nadir. Beliau adalah penduduk Syria yang dapat bercakap dalam bahasa melayu. Walaupun tidak fasih, namun kesungguhannya untuk bercakap dalam bahasa ibunda kita saya amat kagumi! Geli hati kami bila dia bercakap dengan dialek baku yang bercampur baur dengan lahjah tempatan Malaysia. Saya ingatkan dia adalah pelajar Universiti tempatan di sini mahupun ma’ahad-ma’ahad yang terkenal. Tapi umurnya baru mencecah 19 tahun! Ish ish..saya cadangkan dekat tv3 ataupun tv1 untuk datang Syria, buat program ‘arab Syria cakap melayu’ pulak menggantikan ‘arab Mesir kecek kelate’.
Kalau nak di ceritakan perkara yang pelik di sisi ‘orang ajanib’ macam saya dan kawan-kawan yang lain memang banyak. Saya dan amin tak abis-abis tengok orang di sekeliling kami. Perkara yang kami anggap ganjil yang memang teramat susah untuk di jumpai di ‘tanah airku’ yang tercinta boleh di dapati dalam majlis sanad ini.
Ada sekali, saya sempat tegur ‘jiran’ sebelah saya masa di awal pengajian. Namanya Imran. Bila di tanya tentang umurnya dan tempat tinggalnya, saya terkejut ‘bangat’! Imran yang baru berumur 16 tahun sanggup datang dari tempat sejauh ‘Halab’( Kota baru di Syria ) semata-mata nak ambil sanad hadis! Bertambah rasa malu dengan diri sendiri bila dia datang seorang diri. Sempat saya dan Amin bersembang berdua berkira-kira jarak dari Halab ke kota Dimasyq dengan ukuran tempat di Malaysia. Terfikir kami berdua adakah wujud remaja yang semuda Imran yang sanggup turun dari Kuala Lumpur ke Kedah semata-mata untuk mengikuti kuliah Syeikh Nuruddin. Bak kata Islam,”kita sama-sama fikirkan..”.
Itu cerita budak berumur 16 tahun. Lagi membuatkan saya rasa terfikir tentang anak bangsa sendiri, depan mata saya budak yang saya jangka umurnya lebih kurang 10 atau 11 tahun sedang tasmik Quran dengan seorang syeikh. Itu di depan mata, yang di sebelah kiri saya pulak, si anak sedang tasmik si ayah! Saya kongsi peristiwa yang saya tengok bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang lain. Kami terfikir, apalah agaknya adik, anak sedara dan kanak-kanak yang sewaktu dengannya buat di ‘tanah air’ yang amat di cintai..
Pengalaman mengikuti kelas pengajian ini memang suatu anugerah yang Allah kurniakan pada kami. Ye la, kami pun masih baru di sini tapi di beri peluang keemasan sebegini. Memang terasa amat bertuah. Saya juga sempat bergambar dengan Abang Azmil Mustapha, pelakon ‘Ali Setan’ yang datang mengabdikan diri di bumi Syam ini. Hidayah Allah itu terlalu mahal. Sekali di ‘bolak’ hati hambanya, segalanya berubah! Saya sarankan buat artis-artis yang nak berubah, ahlan wasahlan ke Syria. InsyaAllah, berkat bumi yang penuh dengan ulama’ dan dengan kekuasaanNya, segalanya menjadi. Bukan cakap di Malaysia tak mampu mengubah keadaan, tapi ‘kurang sikit’ saya rasakan.
Apa pun saya masih bukan syeikh yang dapat memberi ijazah sanad pada sahabat-sahabat di Malaysia. Sekadar ijazah goreng pisang boleh kot..

Read more...

About This Blog

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP